'Saya sayang Bella lebih dari anak-anak lain' - Siti Bainun nafi dera & pergunakan Bella untuk kutip sumbangan

loading...



Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, 31, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia lebih menyayangi Bella berbanding anak-anak jagaannya yang lain. Dakwaan mengatkaan dia mengambil remaja perempuan sindrom down itu untuk dijaga dan didera adalah tidak masuk akal. 


Menurut Siti Bainun yang membacakan penyataan saksinya pada prosiding membela diri, dia mengakui mengambil dan menjaga Bella sejak Julai 2020. Dia turut menyifatkan Bella sebagai seorang yang kelakar, manja dan suka menyanyi seorang diri di depan cermin membuatkan dia gemar mengusik Bella. 


Sepanjang menjaga Bella, Siti Bainun menegaskan dia tidak pernah mempergunakan remaja itu untuk membuat kutipan sumbangan untuk menyaranya. Apatah lagi dia tidak mendapat bantuan untuk mengurusan Bella. 


Bagi menampung perbelanjaan Bella dan enam lagi anaknya yang lain, Siti Bainun menjual roti, kek, pasta dan mengambil tempahan katering yang dimasuk sendiri di rumah ibunya. 


Anak-anaknya tidak pernah diminta untuk membantunya kecuali sekiranya dia melakukan perkara itu di kondominum di mana mereka sendiri yang akan datang membantunya dengan kerelaan hati.


"Bella, saya benarkan dia menyapu dan belajar mengelap pinggan kerana dia tidak tahu basuh pinggan dengan baik. Jadi pinggan dia, saya atau kakak-kakak yang cucikan. Saya ajar dia urus diri dan lain-lain. Kita tidak pernah menghalangnya berdikari, tetapi dia juga anak istimewa yang memerlukan perhatian. 


"Dalam fikiran saya, kalau saya sudah tiada satu hari nanti, anak-anak ini akan tahu tanggungjawab dan jaga diri mereka sendiri. Tetapi untuk memaksa dan menyuruh dia (Bella) membuat kerja seperti orang lain, itu tidak sama sekali kerana saya sedar dengan kemampuan dia," katanya dalam nada sebak. 


Sebelum itu, Siti Bainun ditegur oleh Hakim Izralizam Sanusi kerana tidak berada di mahkamah mengikut masa yang telah ditetapkan pada jam 9.30 pagi. 


"Peguam bela di mana? Semalam saya sudah tetapkan jam 9.30 pagi, betul? Awak ingatkan sikit anak guam. Dia orang kena tuduh, mana ada hakim tunggu tertuduh datang," katanya. 


Pembantu peguam bela Siti Zulaikha Zulkifli berkata, anak guam mereka sudah tiba tetapi keluar sebentar berkemungkinan pergi ke tandas. 


"Semalam lambat, hari ini lambat. Hari ini alasan apa?" katanya. 


"Dia mungkin ke tandas. Dia sudah sampai, saya percaya dia sampai dengan kami," kata Siti Zulaikha. 


Tidak beberapa lama kemudian, Siti Bainun memasuki mahkamah dan terus diarahkan masuk ke kandang tertuduh. 


"OKT pergi mana tadi? Kenapa masuk lambat?" soal Hakim Izralizam. 


"Saya tak dengar tadi, saya dekat luar ada panggilan," jawab Siti Bainun. 


"Make sure 9.30 pagi kena ada dalam mahkamah. Kalau timbalan pendakwa raya boleh ada, kenapa awak tak ada? Selepas ini, 9.30 pagi kena hadir, saya tak nak mengganggu perjalanan kes lagi," tegas Hakim Izralizam. 


Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

LIKE,SHARE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close