Media sebelum ini melaporkan seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas agensi swasta yang digunakan mereka gagal melaksanakan amanah yang diberi.
Kesemua mangsa dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan bukannya melalui Tabung Haji (TH).
Isu itu sedikit sebanyak mengundang desakan daripada pelbagai pihak agar visa furada dihapus bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang kembali kerana ia bukan sahaja memberi harapan palsu kepada bakal jemaah haji, malah melibatkan kerugian besar.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan visa furada kerana visa furada adalah hak kerajaan Arab Saudi kepada pihak tertentu melalui kedutaan Arab Saudi di Malaysia.
"Itu adalah hadiah khas daripada Raja Saudi kepada individu tertentu yang ada hubungan baik dengan beliau. Cumanya, proses berkenaan melalui kedutaan Arab Saudi yang akan kenal pasti siapa yang akan dihadiahkan visa itu.
"Visa itu bukan hak kita dan kerajaan Malaysia tidak boleh dan tidak ada kuasa untuk membatalkan mahupun menyekat visa furada itu," katanya.
Tinjauan di media, netizen meluahkan rasa kesal dengan penjelasan itu yang dilihat seolah-olah melepaskan batuk di tangga dan kejadian yang sama akan berulang setiap tahun tanpa sebarang penyelesaian kerana pemimpin yang diharapkan tidak mampu berbuat apa-apa.
"Apabila sudah menjadi kerajaan, semuanya tiada kuasa, tidak berdaya bagai. Semasa menjadi pembangkang, punyalah kuat melalak," kata Faizeli Abdullah.
"Walaupun visa furada itu hak Kerajaan Arab Saudi, tetapi kejadian ini berlaku di Malaysia. Kalau Kerajaan Malaysia tiada kuasa, apatah lagi untuk bertindak, memang pentadbiran Kerajaan Malaysia sangat lemah," kata Matt Rezza.
Sumber: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment